tidak mengapa.
sebab harini cara tulisan ini jenis panjang.
bukan puisi.
jadi, jangan berharap besar mahu baca ritma yang sama
disetiap akhir hujung kata post kali ini.
terima kasih.
memahami hukum senyum simetri dan kebodohan tanda soal
itu tajuk kali ini.
kenapa aku kupas tentang benda yang rawak sebegini?
kerana ini hal aku dua minggu lepas.
aku masih terfikir-fikir akan hal ini
dan aku mahu kamu, sang pembaca
fahami dan beritahu jika aku salah.
aku terima.
baik,
senyum simetri bermakna senyuman yang seimbang,
sama kiri kanan
sama lebar tinggi
senyum simetri biasa aku lakukan,
untuk memperlihatkan
tentang keikhlasan senyuman itu sendiri.
berbeza dengan senyum plastik, senyum menghina senget sebelah atau senyum tampal
senyum simetri menggambarkan keluhuran, rasa tenang, hormat
dan seperti yang aku beritahu tadi, ia merujuk kepada keikhlasan.
keikhlasan; baik bagi pemberi senyum atau penerima senyum tersebut.
faham?
mudah bukan?
berbalik kepada tajuk, subjek yang lagi satu; kebodohan tanda soal.
tidaklah aku hendak menghurai apa itu tanda soal (?)
tetapi dalam konteks yang aku ingin beritahu,
ia menggambarkan keadaan tidak percaya atau lebih tepat; pertanyaan.
sudah faham maksud kedua-duanya bukan?
mari imbas insiden dua minggu lepas.
aku - A
akak pelayan - AP
A : akak, saya nak makan... boleh?
AP : boleh la.. dah namanya kedai makan...
baik. berhenti sebentar.
aku bukan jenis suka menceceh. tapi tidakkah akak sedar pertanyaan itu merujuk kepada
"sila ambil order saya boleh tak akak?"
baik, semasa aku bertanya, aku beri SENYUMAN SIMETRI.
dan bila akak pelayan membalas kata-kata aku, dia beri SENYUMAN PLASTIK.
aku biarkan keadaan itu dan duduk di luar, mengadap laut.
aku terperasan ada seorang kanak-kanak dalam lingkungan umur 8 tahun
duduk di sebelah meja aku.
tidak ditemani sesiapa.
15 minit, makanan aku sampai. akak pelayan yang sama menghantar makanan itu.
A : Terima kasih kak.. makan...
AP : dah order.. makanlah.. takkan nak dibuang..
aku terus makan, malas untuk ambil pusing.
baik, semasa aku menjemput dia tadi, aku beri SENYUMAN SIMETRI
dan bila akak pelayan membalas kata-kata aku, dia beri SENYUMAN MENGHINA SENGET SEBELAH
akak pelayan duduk di sebelah kanak-kanak umur 8 tahun tadi.
A : Eh, anak akak ke?
AP : tak lah.. adik.. anak akak paling kecil umur Tingkatan 1...
aku bertanya atas sebab ingin tahu. jangan salahkan sifat inkuiri aku yang terlalu tinggi.
baik, semasa aku bertanya, aku beri SENYUMAN SIMETRI
dan bila akak pelayan membalas kata-kata aku, dia beri SENYUMAN TAMPAL
Aku mahu cari jawapan tentang ini dari kamu semua.
Adalah salah pertanyaan-pertanyaan aku,
dari segi bahasa dan tutur kata?
tidakkah kita - Orang Melayu
diajar untuk bercakap dan bertanya
dalam lenggok bahasa yang indah
yang memang diperturun dari zaman ke zaman
dan dipasak kukuh bersama lenggok bahasa ini
dengan pertanyaan yang kita kira bodoh
tetapi penuh unsur KEMELAYUANNYA
dengan ditinta indah unsur HORMAT?
beritahu aku kalau aku salah.
pernah aku baca tentang kupasan seorang blogger,
tentang bodohnya pertanyaan :
"Cik Melah.. sidai kain ke?"
walaupun terang-terangan Cik Melah memang sedang menyidai kain.
Tidak. Yang bertanya tidak bodoh.
kerana ia pertanyaan biasa yang kita lakukan
dengan lenggok bahasa
"menegur dengan hormat".
selain memberi salam, kebiasaannya.
itu kamu harus faham.
jadi, apabila aku bertanya
jangan beri jawapan bodoh pada aku
kerana aku diajar untuk bertanya
dengan lenggok bahasa Melayu.
bahasa ibunda aku.
jawablah dengan ikhlas
kena pada gaya
kena pada rasa
tolong.
aku mohon.